Hanya Allah segalanya
Pengubat duka
Penyeri sunyi
Berbicara penuh syahdu
Umpama hidup bahagia
Tanpa dosa tanpa noda
Hanya Allah jua
Kita mendamba
Kita setia
Kita tertawa
Kita suka
Namun ada tetapi
Allah datang kita lari
Allah suruh kita lawan
Allah suka kita benci
Allah beri kita tidak peduli
Allah puji kita keji
Seteruk itukah kita?
Atau cuma kata-kata di kala senja
Mungkin tidak, mungkin ya
Hanya kita tahu apa
Allah lebih Bijaksana
Sejauh mana kita lari
Semakin laju Allah mendekati
Hanya Allah sahaja
Kita perlu puji
Kita perlu puja
Kita perlu sanjung
Ya Allah...
Berikan kami sayap ampun
Untuk kami terbang mendekatimu
Jangan biarkan kami lari dariMu
Kerana takut dari cemeti murkaMu
Hanya Allah sahaja... Allah...
Kawakib Duriyah
-tanpa tarikh-
Gombak, Selangor
Sakit aku terus bersambung selepas transit sementara pada hari minggu yang lepas. Sekarang bersambung kembali bermula Isnin hingga tulisan ini dititip. Mengikut maklumat dari kotak gambar berbunyi, matahari sedang berada tegak di atas garisan tropika, menyebabkan panas yang terlalu terik.
Tekak aku masih sakit, mungkin kerana kurang bercakap perkara yang baik atau kurang mengingati Empunya tekak ini. Maafkan diriku. Tentang selamat hari ibu, aku sudah lali dengan sambutan ini, kerana aku tidak menyambutnya bersama ibuku kerana sebelum aku mengetahui ada sambutan hari ibu, ibuku telah pergi lebih awal. Kira-kira dua puluh tahun yang lalu. Bagi aku, hari ibu tidak perlu disambut pada hari-hari tertentu, kerana kita semestinya menyambut hari ibu setiap hari.
Apakah kita mampu membalas jasa ibu kita hanya dengan menyambut hari berkenaan. Pada zaman Rasulullah s.a.w. dulu pernah berlaku, ada sahabat r.a. yang mendukung atau mengangkat ibunya menunaikan haji sehingga selesai. Lalu beliau berjumpa Rasulullah s.a.w. dan bertanya, adakah beliau telah berjaya membalas jasa ibunya itu. Rasulullah s.a.w. menjawab, "Kamu tidak akan dapat membalasnya walaupun kamu mendukungnya sampai mati." (Hadith ini aku tidak pasti status kesahihannya, kerana aku cuma mendengar daripada Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor di dalam kuliah kursus Ahadith Akhlak tahun 2002)
Jadi, aku rasa tidak perlu kita sambut hari ibu kerana kita semestinya mengingati ibu setiap hari setiap masa. Orang-orang yang memulakan sambutan ini adalah kerana hidup mereka terlalu mengejar dunia, sehingga mereka lupa ahli keluarga mereka. Ini yang banyak berlaku di negara Barat, apabila anak-anak ada kehidupan, mereka lupa siapa yang melahir dan menjaga mereka selama ini.
Bagi aku, ibu adalah asbab kewujudanku. Tanpa Wan Salamah Wan Ahmad maka tiadalah Ahmad Saifuddin bin Yusof yang sedang menaip patah perkataan ini sekarang. Terima kasih ibu, hanya lafaz ini kumampu.
Terima kasih ibu
Terima kasih ibu
Hanya kalimah ini sahaja yang mampu
Untukku luahkan dari rongga mulut ini
Terima kasih memberi budi
Memberi isi hati
Mengajar urus kendiri
Dari membasuh muka hingga ke kaki
Terima kasih ibu
Mengajarku menumbuk kunyit sendiri
Atau belajar membancuh air minum
Mengerti kerja seorang ibu
Untuk kufaham penat seorang perempuan
Bergelar ibu
Terima kasih ibu
Dari tingkahmu kubelajar
Hidup berdikari
Hidup mengerti penat seorang isteri
Terima kasih ibu
Hanya lafaz ini kumampu...
Kawakib Duriyah
Gombak
Badan aku tidak berapa sihat sekarang. Mungkin kerana cuaca yang tidak menentu atau mungkin juga kerana aku sudah satu setengah tahun tidak merasai sakit seperti demam ini. Tetapi ada sesuatu yang pelik tentang demam ini, kerana ada seorang tabi'in (saya lupa namanya) dahulu pernah berkata, "Sakit yang aku suka adalah demam." Pelik bukan, ada juga orang suka pada demam.
Aku rasa, mungkin dengan datang demam, kita akan merasakan kehadiran Tuhan menegur segala silap selama ini. Atau mungkin dengan datangnya demam, kita akan rasa betapa nikmatnya sihat selama ini. Tetapi adalah lebih pelik lagi kerana Nabi s.a.w. pernah bersabda (mafhum), "Demam itu adalah daripada percikan api neraka." (Maaf, aku lupa sumber hadith ini, tetapi ia sahih). Api neraka!
Betulkah begitu? Para ulama' memberi pelbagai pandangan tentang hal ini. Tetapi aku ada pandangan berbeza, sebenarnya apa yang dikatakan Nabi s.a.w. itu adalah isyarat bahawa, dengan cara demam kita boleh mengingati azab api neraka, kerana kita akan terasa kepanasan suhu badan kita. Dengan perbezaan 0.5 darjah celsius sudah cukup untuk membuatkan kita demam. Api neraka bagaimana pula? Sudah tentu lebih dahsyat lagi bukan.
Apa yang aku rasa sekarang agak terganggu kerana aku mesti menyiapkan juga bab terakhir disertasi sarjana aku dalam masa terdekat ini. Badan seperti berhenti berfungsi untuk membantu aku menyiapkan beban ini. Mohon pada sekalian sahabat, memberi sedikit perangsang untuk aku teruskan tanggung jawab ini. Semoga ia dapat menguatkan lagi semangat aku meneruskan perjuangan ini. Biar pun sekelumit, ia tetap bermakna. Terima kasih aku ucapkan pada kalian.
Untuk ke sekian kali aku cuba menulis juga untuk kumohon semangat dari yang Esa. Sekarang penulisan sedang dalam rangka akhir untuk kuakhiri penuh ikhlas. Tetapi tenaga seakan terhenti, tubuh seperti diam berdiri. Aku masih mencari punca, atau mungkin kerana kurang komunikasi dengan Yang Esa. Aku memohon kepada semua supaya mendoakan aku untuk terus berlari kerana garisan penamat semakin hampir untuk kutuju.
Lutut seperti mahu mengalah, tetapi minda masih positif untukku terus bertahan. Tolong Tuhan, aku memohon seribu ampunan supaya aku dapat berlari dengan tenang. Semakin dekat dengan garisan, semakin bertalu ujian mendatang. Dari paluan canang syaitan persetan hingga perkara picisan yang tidak perlu difikirkan. Apa lagi yang kumahu untuk kusimpul disertasi ini. Laptop sudah di depan, sepuluh jari masih kuat untuk berlari mencari kalimah makna. Kesakitan luaran yang kualami hasil kerana saban masa berteleku bersengkang mata mencari bilah-bilah kata untuk dititipkan pada disertasi ini.
Kumerayu untuk kuhabiskan tanggung jawab ini. Beban yang agak berat di bahu ini, harus kuselesaikan dengan segera mungkin. Mohon Ya Allah untuk kuhabisi kesimpulan ini, untuk dinoktahkan kalimah-kalimah ini. Mohon satu persejuta tenaga dari langit untuk gagahkan diri dan hati ini mendarat dengan penuh ikhlas dan rendah diri. Kumohon tiap titik peluh dan sukat tenagaku agar menjadi hujjah di depanMu. Mohon dikira berapa huruf, berapa kalimah, berapa baris untuk diberi ganjaran di sana.
Hanya ampunan dariMu untuk kutenangkan hati ini, meneruskan perjuangan minda dan raga. Kupinta ditunjukki jalan benar lagi betul untuk setiap saat dan detik yang berlari-lari. Setiap milisaat mohon ditunjuk Ya Allah...
Cantingkan hati ini dengan batik ikhlas dan rendah diri, patuh dan taat, syahdu dan rindu padaMu. Kumohon Tuhan, untuk kuakhiri beban ini... Bahuku semakin lenguh untuk kupikul, kumohon tenaga yang tersisa ini mampu diteruskan jua. Allah... hanya Kamu Yang Maha Mampu.
Tiap baris kata ini memberi makna
Tiap baris kalimah ini ada suara
Tiap baris-baris ayat ini membentuk cerita
Akan kutitipkan kata-kata
Dari cerita kitab tua
Bukan cerita purbakala
Tetapi cerita Nabi kita
Muhammad namanya
‘Abdullah bapanya
Aminah ibunya
Khadijah isterinya
Islam perjuangannya...
Dari celah kitab tua...aku bercerita...
Kawakib Duriyah
17 April 2009, 12.50 pagi
Gombak
Aku cuba gagahkan diri melirik kata-kata sementara masih ada berbaki tenaga yang sudah basi ini. Apa yang aku cuba titipkan kali ini adalah gangguan ketika aku sedang memuntahkan kalimah-kalimah ilmu di depan laptop. Aku sejak kecil memang alah dengan informasi, hiburan yang menggerakkan minda, cerita yang memberi bermacam idea. Tetapi apabila datang suatu prioriti untuk aku fokus secara padu, ia memberi impak yang menggetarkan benakku.
Kadangkala aku hanyut dengan kotak-kotak elektronik yang penuh informasi, atau wayang kecil yang memutarkan mindaku, sedangkan itu bukan daruri untuk seketika waktu ini. Aku harus menumpukan sepenuh jiwa, raga, akal budi, minda dan emosi untuk luluskan disertasi yang aku sedang tulis ini. Laluan sungguh sukar untuk aku menentang godaan yang sungguh kuat mendatang. Frekunsinya sungguh ganas untuk aku tepis, namun kadang kala, mindaku memain peranan membetulkan fizikal agar tidak tersalah arah. Memang benar, apa yang aku tonton di wayang mini dan apa yang aku baca layar siber itu memberi sejuta informasi. Tetapi bukan itu yang harus aku penuhi sekarang ini.
Aku mesti kuatkan semangat memberi fokus tiga empat lipat untuk aku lorongkan disertasi ini dengan jalan yang lurus dan rata. Sekarang ini, aku perlukan sokongan dari semua, memberi sedikit inspirasi untuk terus berjuang sambil menunggu kehadiran manusia fitrah lahir ke dunia. Mungkin dengan sekelumit coretan, memberi sejuta harapan dan impian yang mampu mengubah sedikit pandang alam agar terus menatap dan melangkah penuh gagah. Aku perlu koreksi apa yang berlaku agar dapat mengubah sedikit komitmen.
Memang benar, cara kita melihat diri, akan mengubah cara kita melihat dunia.
Sahabat sekalian, aku memohon...
Berbalik kepada cerita isteri dan disertasi. Beza di antara dua kalimah ini adalah seperti ini; Isteri, pelengkap hidup dan teman sejiwa hingga dunia Akhirat. Disertasi, impian yang perlu dipenuhi bagi melengkapkan impian yang lebih hebat. Isteri, teman di kala susah dan senang, tawa dan tangis, ceria dan duka kerana dia adalah pelengkap selama. Disertasi, susunan beribu-ribu kalimah yang mengandungi hasil kerahan tenaga fikir, lompatan idea dan jeruk semangat yang membugar.
Antara isteri dan disertasi, aku menganggap keduanya sama penting. Bila disebut sama bukan bermakna serupa. Ringkasnya, disertasi penting sementara tetapi isteri penting selama-lama-lama. Walaupun nampak sama, maqamnya tetap berbeza, posisi jauh benar jaraknya.
Kepada isteri yang kunikahi, jangan disalahfahami baris-baris ini. Aku cuma ingin mengungkap bahawa posisi dirimu di hati ini tidak teralih atau tergerak seinci. Tiada siapa atau apa yang mencabar posisi ini. Kita saling melengkapi sesama. Bersama kita susun bunga-bunga kasih menjadi sejambak cinta yang diikat bersama Iman kepada Tuhan.
Antara isteri dan disertasi. Aku memilih isteri untuk kukasih. Aku memilih disertasi untuk kutulis. Akan kucantum keduanya untuk kubina impian yang ditulis bersama teman yang kukasih.
Antara isteri dan disertasi, ia bukan ungkapan misteri. Tetapi padanya ada kasih sejati dan impian bererti.
Lebih sebulan lama aku berjaga jiwa dan raga berfikir, memerah idea. Setelah sekian lama terasa senak di mata berat di minda. Sungguh! Pengalaman ini aku tidak pernah lalui. Aku pernah lalui melaksana program yang besar. Tapi aku tidak pernah rasa sepenat ini otak kanan dan kiri. Biasa jika ada kerja besar, hanya tubuh sahaja yang lemah tetapi minda masih boleh berputar. Tetapi ada terasa sekarang, seolah putaran itu makin perlahan dan tidak sekata. Disebabkan banyak kekangan masa, tekanan waktu yang memburu, sambil menunggu orang ketiga datang tidak lama lagi. Ia menjadi makin termengah untuk berputar. Putaran minda ini ibarat memandu di jalan yang penuh simpang kadang perlahan dan kadang meluru laju.Setelah sekian lama, aku terpaksa mencatit juga. Meluah muntah-muntah penat, hilang semangat.
Aku percaya ramai diluar sana menghadapi situasi sama. Tetapi mungkin sama tetapi perasaan berbeza. Aku kuatkan jiwa untuk terus melanda, berdepan dengan kekaratan putaran yang tidak sekata. Aku tahu apa yang aku tatap saban hari adalah pengkisahan manusia terulung Muhammad bin Abdullah s.a.w. Dibaca kisah, ditenung cerita penuh makna. Berkerut dahi, berdenyut kepala memandang matan Arab yang sarat makna. Kadang mengangguk, kadang menggeleng. Laksana membaca tulisan jawi arwah ayah yang berlipat-lipat sirat.
Rambut seakan segan memanjang, seolah memberi penunjuk kepada empunya diri agar berusaha semangat, rambutmu ini akan menunggu untuk diselesai. Teruskan usahamu! Aku akan setia menunggumu menitip kalimah akhir disertasi ini.
Muhammad seolah hadir tersenyum memberi dan menghulur asa untuk aku tatap kisahnya hingga akhir. Tiap baris kisah aku cuba lalui penuh faham. Kadang tersenyum sendirian, ada juga ketawa seorang. Kadang menitis air mata pabila syahdu datang.
Terima kasih Tuan Punya Bumi dan Langit, takdirmu meluru masuk untuk aku analisa kisah RasulMu memberi lautan makna, aliran cerita penuh ekspresi.
Jari-jemari yang bertatih di atas kekunci dulu, sekarang semakin pantas membuka langkah, walaupun terkadang tersembam muka ke tanah. Kalimah demi kalimah datang berdikit-dikit sehingga layar mendesak supaya dipenuhi kalimah-kalimah untuk mencari peribadi Nabi.
Ku mohon lagi tenaga untuk aku simpulkan disertasi ini untuk aku sebarkan kepada pencinta NabiMu. Akanku kongsi tawa, tangis, rindu baginda penuh syahdu. Wahai Tuhan! Aku memohon untuk aku akhiri disertasi ini penuh makna, tepat masa, sekata selama.
Audit yang bermula dari 25 Jun hingga 2 Julai ini memberi saya sangat banyak pengalaman, ilmu dan maklumat. Kemahiran komunikasi saya yang semakin baik, berdepan dengan para akademis dan staf-staf universiti yang hebat belaka. Sekali-sekala terdapat juga kisah-kisah lucu yang berlaku. Biarlah ia menjadi kenangan dalam hidup saya selamanya.
Terdapat beberapa perkara yang ingin saya kongsi di sini. Sebenarnya audit dalaman ini sebenarnya telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. sendiri, diikuti oleh para Sahabat beliau yang diredhai Allah s.w.t. Saidina Umar r.a. pernah berkata, “Hitunglah diri kamu, sebelum kamu dihitung (oleh Allah di Akhirat nanti).” Hitung di sini bermaksud audit dalaman. Kita mesti selalu mengaudit dalaman kita, sama ada kita mengikut atau tidak Proses Teras (PT) dan Prosedur Kerja (PK) yang ditetapkan oleh Allah dan Arahan Kerja (AK) yang disusun oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Allah s.w.t. telah meletakkan di dalam PT-Nya bahawa setiap muslim mesti solat lima waktu sehari semalam. Pesuruh-Nya menetapkan Prosedur Kerja bahawa subuh ditunaikan ketika fajar shadiq terbit dan dilaksanakan sebanyak dua rakaat, beliau menunjuk ajar para sahabat r.a bagaimana pelaksanaan solat berkenaan dengan menetapkan Arahan Kerja, iaitu sebelum melaksanakan solat, hendaklah bersih dan hadas kecil dan besar dengan berwudhu’, begitulah seterusnya. Setiap PT, PK, AK ini mesti dipatuhi setiap hari dan ia mesti diaudit setiap hari, sama ada pelaksanaannya menepati PT, PK dan AK yang telah ditetapkan.
Kadang-kadang kita selalu lalai dari melaksanakan dengan betul PT, PK dan AK tersebut. Ini bermakna kita sudah tidak akur dengan sistem yang telah ditetapkan maka setelah dikenal pasti punca ketidakakuran tersebut ia perlu ditutup dan diselesaikan dengan taubat jangka pendek dan jangka panjang bagi mengelak ketidakakuran yang sama akan berulang kembali. Taubat jangka pendek ialah dengan qada’ atau mengganti kembali ketidakakuran yang telah kita lakukan. Manakala taubat jangka panjang pula, hendaklah kita mencari jalan penyelesaian dengan mewujudkan Senarai Semak yang jelas bagi mengenal pasti punca ketidakakuran tersebut.
Contohnya, jika ketidakakuran tersebut adalah tertinggal solat subuh pada hari X. Maka taubat jangka pendek dengan mengqada’ kembali solat subuh tersebut dengan segera. Manakala taubat jangka panjang adalah dengan mengenal pasti punca solat subuh pada hari X itu tertinggal. Jika disebabkan terbangun lewat kerana tiada jam loceng, maka kita mesti membeli jam loceng untuk mengelak ketidakakuran tersebut berulang kembali.
Sekian sahaja, pembentangan saya mengenai audit dalaman diri sendiri. Saya berharap semua dapat melaksanakan audit dalaman kita dengan jayanya, Insya Allah. :)
Allah jua yang Maha Sempurna
Maha Kuasa Allah Ta'ala menciptakan keadaan serabut ini. Saya tidak pasti adakah makhluk lain mengalaminya. Sehari dua ini serabut melanda diri yang masih terkontang-kanting mengawal nafsi. Hanya pada Allah kita mengharap, hanya pada Dia kita meminta tolong.
Aku mahu terbang kepada Allah dengan sayap keampunan, kerana aku selalu lari dari-Nya kerana takut dari cemeti murka-Nya.
Tolong Tuhan, aku cuma mahu terbang ke sana.
Jika anda tidak mampu berbuat apa-apa, jangan dituduh orang bermacam-macam. Lebih baik berdiam diri dan lihat sahaja, daripada menghukum orang hanya kerana dia berbuat sekelumit salah kecil. Berdiam diri dari bersibuk-sibuk mengkritik itu sudah dikira menolong agama yang kita semua anut bersama. Ingatlah, Allah Ta'ala yang sama juga kita percaya dan Muhammad bin Abdullah itu juga orang yang kita ikuti jejaknya.
Tegurlah dengan mesra, kerana Islam ini adalah kesempurnaan akhlak mulia. Nabi Muhammad pernah berkata, "Aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia."
Berbuat salahlah semua, kerana itu tandanya kita lakukan sesuatu untuk agama kita. Salah itu biasa, kerana kita semua manusia. Rancanglah sebaiknya, kerana salah membuat orang beralih pandang, berjalanlah walau pun tempang.
Moga Allah bersama kalian yang berbuat salah dan diperbetulkan kemudian. Hanya Allah jua yang Maha Gagah dan Maha Perkasa.
Kadang-kadang kita terasa jiwa tidak menentu bukan kerana kerja yang bertambun atau persekitaran yang haru-biru, tetapi kerana jiwa tidak tenteram, menjadikan fokus hati dan rohani kita pada Tuhan tidak konsisten.Bila terkenangkan hidup yang lalu, tenang, ceria dan sentosa, membuatkan kita terasa cemburu dengan kehidupan yang lalu. Tetapi sedarkah kita bahawa hidup yang lalu itu adalah hidup kita juga. Bagaimana boleh hidup yang lalu itu menjadi bahagia. Adakah kerana mendapat kawan-kawan yang baik atau persekitaran yang sejahtera.
Setiap kali saya merenung ketidaktentuan ini, ia hanya berpunca pada diri yang tidak 'bersahabat' dengan Tuhan. Siapa Tuhan? Dialah yang mengaturkan hidup kita ini, satu persatu. Dialah memberi kita pilihan untuk ke kanan atau ke kiri, Dia sudah tahu apa pilihan kita dan Dia tidak memaksa kita kerana akal yang dianugerahi-Nya kepada kita.
Ketidaktentuan yang kita alami, kadang kala memberi kita makna bahawa hidup kita ini memang untuk diuji sejauh mana keberkesanan akal kita membawa makna agama yang kita anut ini. Beratus ribu patah perkataan yang kita baca di setiap helaian buku, artikel, laporan, majalah, kitab, nota, minit mesyuarat, tesis, disertasi, surat khabar, papan tanda dan segalanya. Namun kita masih belum dapat mengawal kotak jasad yang bergerak bersama akal, budi dan jiwa kepada Tuhannya.
Betapa kasihnya Tuhan memberi segala kemudahan respirasi, perkumuhan, metabolisma, antibodi badan untuk melancarkan segala gerak hidup kita, tetapi kita masih belum dapat membawa diri menghadap-Nya setiap hari.
Kerut dahi setiap hari memberi erti keresahan hidup selama ini. Kepala dipicit, leher diurut agar lerailah sementara gelisah yang melanda. Tetapi itu tidak berpada jika tidak dibawa dengan semangat, kerahan jasad, jiwa, rohani, akal dan budi untuk bersiap sedia untuk melanda segala apa yang menghalang kebahagiaan ini.
Moga dipermudahkan segalanya...
Ada satu hadith Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud,
Sesiapa yang mencari keredhaan Allah menyebabkan manusia lain marah kepadanya, Allah akan terus redha kepadanya dan menjadikan hati-hati orang lain juga redha kepadanya. Sesiapa yang mencari keredhaan manusia, menyebabkan Allah murka kepadanya, Allah akan terus murka kepadanya, dan menjadikan manusia lain benci kepadanya.
Bagi saya, hadith ini banyak memberi makna kepada kita bahawa tiada sesiapa yang mampu menolong kita melainkan Tuhan Maha Pencipta. Lakukanlah apa sahaja demi Tuhanmu kerana Dia lebih mengetahui jerih lelah secupak usaha yang lakukan.
Allah juga yang lebih mengetahui.
Antara perubahannya adalah saya menerima nasihat Puan Ainon dari Universiti PTS supaya mengguna Bahasa Melayu Tinggi dalam apa jua penulisan. Jadi, segala tulisan saya sebelum ini yang berumur hampir dua tahun yang menggunakan Bahasa Melayu Rendah penuh dengan singkatan-singkatan akan dibetulkan dari semasa ke semasa. Terima kasih kepada Puan Ainon.
Selain itu, tambahan pautan ke laman-laman web kesukaan saya akan ditambah dari semasa ke semasa kerana saya mempunyai terlampau banyak laman web kegemaran.
Insya Allah, kita sama-sama berdoa agar segala apa yang berada di minda saya dapat dikeluarkan dengan selamat.



